Pengenalan.
Silat ini diasaskan oleh Mahaguru Hj. Jaffar bin Hj Abd. Hamid bertempat di kediaman beliau sendiri. Sehingga kini kediaman beliau yang beralamat di TL 34, Pt. Ulong Darat, Sri Medan, Batu Pahat menjadi pejabat dan rumah rasmi Pertubuhan. Selain daripada kegiatan silat, kediaman beliau juga menerima tetamu untuk tujuan perubatan dan urutan tradisional.
Silat ini berasal dari Pesantren Gunong Jati, Indonesia. Ianya dipelopori oleh anak-anak raja Banjar dan hanya diperturunkan kepada anak-anak Banjar sahaja dengan nama Silat Sendeng Singkir. Silat ini telah dibawa ke Tanah Melayu pada kurun ke-16 oleh anak-anak raja Banjar yang berhijrah ke Tanah Melayu dan menukar gelaran nama mereka menjadi orang kebanyakan.
Bagi membolehkan suku-suku kaum melayu lain mempelajarinya, Mahaguru Hj. Jaffar telah menukar nama Silat Sendeng Singkir kepada Silat Gayong Gerak Serentak yang mana telah diadun daripada silat-silat Banjar, Jawa, Bugis, Melayu dan Cina.
Dinamakan Silat Gayong Gerak Serentak adalah bersempena dengan gabungan silat yang telah dirangkumkan menjadi jurus-jurus maut dan berbahaya, yang bergerak secara serentak iaitu gerakan sepantas kilat. Gerakan pembelaan dan serangan dalam silat ini membolehkan tidak membatalkan solat seseorang ketika dalam keadaan darurat. Gayong pula adalah menjadi asas dalam pergerakan silat Banjar. Walaupun menggunakan nama Gayong, jurus dan buah dalam silat ini adalah lebih cenderung kepada gaya serangan Sendeng, yang mana prinsip utamanya ialah “menepis serangan dengan serangan”.
Turut diajar dalam Pertubuhan ini ialah Silat Olahraga. Silat Olahraga adalah silat untuk tujuan sukan yang telah diperkenalkan ke seluruh dunia. Penglibatan PSGGSM dalam silat olahraga telah menghasilkan ramai juara dan pakar di kalangan ahli. Dengan mengadaptasi daripada jurus-jurus sebenar, pesilat PSGGSM telah berjaya mencipta nama dalam silat olahraga baik di peringkat daerah, negeri, kebangsaan mahupun diperingkat antarabangsa.